Hukum percaya horoskop
Tuesday | 09:09 | 0 comments
Haram Percaya Horoskop - - 40 hari solat tak diterima.
ORANG Islam tidak boleh terpengaruh dengan horoskop walaupun sedikit pun kerana ia boleh menjejaskan akidah. Malahan, mereka yang membacanya tidak kira percaya atau tidak adalah sama perbuatannya dengan berjumpa dengan tukang tilik di mana solat mereka tidak diterima Allah selama 40 hari.
Menurut pensyarah kanan di fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, perkara itu adalah berdasarkan kepada penyelidikannya ke atas ulasan ulama Yusuf al- Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang atau horoskop.
“Ada yang berpendapat boleh membaca dan ada yang kata tidak boleh membaca walaupun sekadar suka-suka. “Ulasan Yusuf al- Qadrawi memberi maksud bahawa perbuatan membaca walaupun hanya suka-suka sama seperti pergi menemui tukang tilik atau tukang ramal.
“Jadi, amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhkan. Nik Salida seterusnya memberitahu, ramai yang membaca ramalan bintang itu sekadar suka-suka tetapi perbuatan itu tetap dipandang salah. Ini kerana katanya, daripada perbuatan suka-suka itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi takjub seterusnya mempercayai apa yang dibaca oleh mereka.
Nik Salida bagaimanapun memberitahu, membaca dengan tujuan untuk mempelajari sama ada halal atau haram, membantah, menjelaskan sesuatu perkara ada perlu dan menjadi wajib untuk tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.




